APA PERLUNYA ANAK KELAHIRAN MALAYSIA MEMENTINGKAN KETURUNAN?

 

Mengapa anak kelahiran Malaysia masih mementingkan keturunan mereka? Samada mereka dari keturanan Java, India, Cina, Minang, Arab, Pakistan, Bangla, Bugis atau apa saja? Bukankah mereka semua nya warganegara Malaysia dan berbangsa Melayu, dan tidak pula mereka dikenali dengan keturunan mereka? Cuba lihat pada kad pengenalan mereka? Apa yang tertulis dalam kad pengenalan itu? Adakah maklumat tentang keturanan?

Tempoh hari, berbagai komen dan desakan telah disuarakan oleh gulungan yang mengaku diri mereka dari keturunan Bugis yang mahukan Tun Mahathir memohon maaf atas alasan melebalkan orang Bugis sebagai lanun dan perompak. Ada juga satu pihak yang lain yang mahukan Tun Mahathir didakwa kononnya telah mengeluarkan kata-kata menghina kaum Bugis.  Manakala saorang menteri kanan UMNO yang telah mengaitkan isu ini dengan saorang pemimpin kanan Indonesia dari keturunan Bugis, yang dikatakan telah marah dengan kenyataan Tun Mahathir itu.

Saya ingin bertanya kepada mereka ini, “Mengapa apabila saorang menteri kanan UMNO menyindir Tun Mahathir itu dari keturunan India, tidak ada pula desakan supaya menteri kanan UMNO itu di dakwa”. Malahan, Tun Mahathir telah menerima sindiran itu dengan penuh kesabaran, dan meminta menteri kanan UMNO tersebut tunjukkan kad pengenalan lama Tun Mahathir yang ada mencatakan nama dan keturunan Tun Mahathir itu dari India. Hingga sekarang, tidak ada sebarang bukti dapat di tunjukkan oleh menteri kanan UMNO tersebut. Bukan kah ini satu penipuan?

Bagi saya, ini semua mainan politik yang tidak mendatangkan sebarang manfaat kepada kesatuan dan perpaduan bangsa Melayu negara ini. Adakah kita dari berbagai keturunan yang lahir dinegara ini tidak lagi mahu menganggap diri kita sebagai bangsa Melayu, dan mahukan kita dikenali dengan keturunan kita? Kalau itulah yang kita mahu, maka saya kuatir bangsa Melayu akan pupus dimuka bumi Malaysia ini disebabkan ketiadaan kesatuan dan perpaduan bangsa Melayu.

Kami dari Persatuan Patriot Kebangsaan tidak rela keturunan menjadi isu yang bolih memecah belahkan perpaduan bangsa Malaysia, khasnya dari khalangan bangsa Melayu. Begitu juga, kami tidak rela isu perkauman dan agama diapi apikan olih mana mana pihak untuk kepentingan politik mereka, yang akan membawa perpecahan kepada perpaduan dan keharmonian rakyat.

Apa ertinya Satu Malaysia yang menjadi laungan kuat para pemimpin UMNO sekiranya mereka sendiri yang menjadi punca segala perbalahan dan perpecahan bangsa Malaysia? Satu Malaysia tidak akan memberi apa apa makna bilamana kita tidak berani menghakiskan sikap taksub bangsa Melayu yang mementingkan keturunan mereka.

Yang penting sekali didunia globalisasi yang semakin rencam dan cabaran ekonomi dunia yang tidak menentu, kita perlu memikirkan periuk nasi beribu-ribu anak muda kita yang sukar mendapat perkerjaan. Mereka adalah harta warisan ibu pertiwi. Satu Malaysia  penting menyatukan semua warganegara, memupuk perpaduan, demi cinta akan pertiwi. Satu Malaysia seharusnya sinonim dengan perpaduan rakyat pelbagai bangsa dan keturunan.

 

Brig Jen Dato Mohd Arshad Raji (Bersara)

Presiden

Persatuan Patriot Kebangsaan

(PPM-005-14-22052017)

 

 

 

 

Leave a Reply