KETUA PENGARAH SPRM PERLU BERCAKAP BENAR TERHADAP PERTUDUHAN MELAKUKAN HUBUNGAN SULIT DENGAN ISTERI ORANG

Beberapa bulan kebelakangan ini, kita telah disajikan dengan berbagai kes rasuah yang melibatkan beberapa penjawat awan kanan dan ahli politik. Nilai rasuah mencecah jutaan ringgit yang disimpan dipejabat dan dirumah, selain dari jutaan ringgit yang berada dalam akaun bank masing masing. Kita juga telah disajikan dengan berbagai kes penipuan yang juga mencecah jutaan ringgit. Semua kes ini sudah menjadi satu ‘trend’, dan nilai nya sekarang sudah mencecah berbilion ringgit. Tidak mustahil akan berlaku pada satu ketika nanti bahawa nilai kes ‘kecurian, rompakan dan penipuan’  akan mencecah trilion ringgit pula, dan mereka yang telah melakukan jenayah ini dilihat olih segulungan masyarakat sebagai satu perbuatan yang tidak salah dan memalukan.

Dalam keadaan negara sedang berhadapan dengan rasuah dan penipuan melibatkan penjawat awam dan ahli politik, kita sekarang disajikan pula dengan kes dimana Ketua Pengarah SPRM telah dituduh melakukan kesalahan yang terlarang dan terkutuk dari segi agama, iaitu hubungan sulit diluar negara bersama isteri orang. Dalam kes seperti ini, kita tidak bolih elak tanggapan orang ramai bahawa kedua mereka ini berkemungkinan telah melakukan zina, dan sebagai umat Islam kedua mereka ini sudah pasti tahu akan hukumnya bila berhadapan dengan pencipta mereka nanti.

Walaupun umum tahu bahawa perbuatan mereka itu terkutuk dan hina, namum ada segelintir mesyarakat seolah tidak mahu melihat perbuatan itu sebagai sesuatu yang salah, dan perlu disiasat dan diambil tindakan segera. Sehubungan ini, terdapat saorang ahli politik yang telah mengeluarkan kenyataan rangsangan dengan menasihatkan supaya Ketua Pengarah SPRM itu ‘steadfast’ menghadapi pertuduhannya itu. Apakah maksud ahli politik ini bila dia mengunakan perkataan sedemikian? Adakah dia melihat perbuatan itu sebagai satu kes yang biasa yang tidak perlu dihebohkan? Ini bukan kes rasuah berbilion ringgit, tapi satu kes yang amat terkutuk dan terlarang olih agama. Ini juga kes yang melibatkan moral dan integriti saorang Ketua Jabatan yang juga pemegang jawatan penting dalam kerajaan.  Saya minta ahli politik berkenaan menerangkan kepada mesyarakat apakah maksud perkataan ‘steadfast’ itu.

Saya hairan juga mengapa para ustaz yang bijak pandai membisu dalam kes seperti ini. Sudahlah ramai dikalangan mereka membisu dalam kes penipuan dan rasuah berbilion ringgit; kes menjalin hubungan sulit bersama isteri orang pun tidak mendapat teguran. Adakah mereka menunggu hingga terbukti kes ini benar berlaku, barulah mereka bersuara? Atau mereka menunggu munculnya empat saksi?

Saya juga ingin bertanya, apa perlunya Ketua Pengarah SPRM muncul di TV 3 beberapa hari lalu untuk ditemuduga mengenai pertuduhan salahlakunya itu? Apa perlunya beliau membuat kenyataan seperti yang tersiar dalam Utusan Malaysia tempoh hari dengan memberi alasan bahawa ini semua adalah untuk “mencemar imej beliau selain melemahkan semangat anggota SPRM dalam melaksanakan tugas memerangi rasuah”. Bagi saya, ini kes peribadi dan tidak ada kaitan langsung dengan anggota SPRM.

Apa yang rakyat ingin tahu adalah pengakuan nya, iaitu samada pertuduhan terhadapnya serta rakaman video itu benar atau tidak. Tidak perlulah beliau memberi berbagai alasan, tetapi menggelak dari menjawab soalan asas, iaitu samada beliau melakukan hubungan sulit bersama isteri orang atau tidak. Selagi soalan asas ini tidak terjawab, maka rakyat akan terus beranggapan bahawa Ketua Pengarah SPRM itu telah melakukan perbuatan terkutuk dan tidak bermoral, dan olih itu beliau secara sukarela wajib melepaskan jawatannya sehingga satu siasatan terhadapnya diselesaikan.

Patriot

Leave a Reply