SURAT TERBUKA KEPADA PENGERUSI KELAB KOMANDO, CAWANGAN WILAYAH PERSEKUTUAN

Saya terpanggil bagi menyuarakan komen terhadap gelagat dan kelakuan Jamal Yunos, iaitu saorang Ketua Pemuda UMNO, Cawangan Sg. Besar, Selangor yang juga bergelar Dato Seri, dan pada awal tahun ini, telah dianugerahkan sebagai Ahli Kehormat Kelab Komando, Cawangan Wilayah Persekutuan.

Tidak perlulah saya huraikan satu persatu apakah gelagat yang telah dilakukan olih Jamal Yunos, yang saya rasa amat memalukan, dan menjadikan contoh yang tidak baik kepada anak muda Melayu dan bangsa Melayu. Kalaulah Jamal Yunos beranggapan bahawa  gelagat dan kelakuannya itu bolih menarik perhatian anak muda Melayu untuk melihat dirinya sebagai ikon dan pejuang negara, maka saya katakan bahawa hanya orang yang kurang siuman saja yang akan menerima baik perbuatannya itu.

Saya sebagai saorang persara Angkatan Tentera kurang senang bilamana Jamal Yunos dianugerahkan sebagai Ahli Kehormat Kelab Komando olih Pengerusi Kelab Komando Wilayah Persekutuan.

Saya ingin bertanya apakah criteria yang melayakkan Jamal Yunos diberikan penanugerahan Ahli Kehormat Kelab Komando tersebut? Adakah gelagat dan kelakuan nya itu dilihat sebagai satu perjuangan untuk bangsa dan negara? Adakah gelagat dan kelakuan Jamal Yunos itu bolih disamakan dengan perjuangan persara persara komando ketika melawan komunis pada era 60’an hingga 80’an dulu?

Saya kenal ramai pegawai pegawai komando dan juga dikalangan lain lain pangkat, dan saya beri penghormatan yang amat tinggi pada mereka semua kerana mereka adalah pejuang sebenar yang telah berkorban nyawa mereka demi pertahanan maruah dan kedaulatan negara. Pernahkah Jamal Yunos bersama pejuang komando kita dalam operasi melawan komunis? Sudah tentu tidak, dan apakah sumbangan Jamal Yunos pada pertahanan dan keselamatan negara yang melayakkan dia dianugerah sebagai Ahli Kehormat Komando?

Demi menjaga nama baik pasukan komando sebagai satu pasukan elit yang telah banyak berjasa pada negara, dan juga bagi menjaga nama baik ahli ahli komando yang sudah bersara, maka saya gesa Pengerusi, Kelab Komando Wilayah Persekutuan menarik balik anugerah Ahli Kehormat dari Jamal Yunos dengan sertamerta.

Patriot

 

Leave a Reply