ANAK MUDA BANGSA MELAYU KU

Saya diberitahu bahawa ramai anak muda bangsa Melayu sudah tidak segan silu mengeluar kata-kata cacian dan kesat terhadap pemimpin-pemimpin negara terdahulu, seperti Tun Mahathir dan mereka yang seangkatan dengan beliau. Saya tidak tahu apakah yang menjadi penyebab yang anak-anak muda ini bersikap sedemikian, walhal ramai dari mereka masih anak kecil ketika Tun Mahathir memegang jawatan sebagai Perdana Menteri Malaysia selama 22 tahun. Begitu juga, saya yakin kesemua mereka ini tidak pernah sesekali pun bertemu wajah bersama Tun Mahathir.

Lantas saya bertanya pada diri saya…….pernahkah Tun Mahathir melakukan apa apa kesalahan pada mereka ketika mereka masih anak kecil lagi? Atau pun, adakah mereka ini tidak diberi makan  atau diberi layanan buruk oleh Tun?

Lihat saja apa yang telah berlaku di Shah Alam bulan lalu pada majlis ‘Nothing To Hide 2.0’ dimana anak anak muda Melayu telah membaling kasut dan kerusi terhadap Tun Mahathir. Tindakan merusuh seperti ini tidak langsung terlintas dihati saya kerana sebagai anak muda Melayu, kita dididik bersikap hormat pada orang yang tua, berlebih lagi mereka yang berumur lebih tua dari ayah atau atuk kita. Jadi apa sebenarnya yang telah mempengaruh anak muda tersebut membencikan Tun dan sanggup merusuh? Ini satu persoalan yang masih saya tercari cari jawapannya.

Baru baru ini pula, saya terbaca satu mesej yang dikirimkan pada saya, seolah olah pengirim mesej itu mahu menyindir Tun Mahathir dengan berkata, “orang dah tak peduli bila tak berkuasa….kesian”.

Tidakkah pengirim mesej itu tahu bahawa Tun Mahathir dalam usianya yang lanjut masih aktif dalam memperjuangkan nasib negara dan rakyat, dan hampir setiap malam berceramah dipentas politik bagi menyedarkan rakyat tentang kerakusan yang dilakukan oleh pemimpin negara sekarang?

Kita patut bersyukur bahawa Tun Mahathir masih berkemampuan berdiri dipentas politik untuk berceramah menentang kerajaan kleptocrat yang diketahui dunia yang telah mencuri berbilion billion wang rakyat. Saya nak tanya pula pada penulis mesej itu…..apakah jasa dan pengorbanan kamu pada bangsa dan negara? Adakah jasa dan pengorbanan kamu lebih besar dari Tun Mahathir?

Kita lihat pula gelagat orang seperti Jamal Jamban dan Ali Tinju. Adakah gelagat mereka ini boleh menjadi contoh yang baik pada anak muda kita? Bagi saya, kedua dua mereka ini tidak boleh diterima sebagai pemimpin yang berkelakuan baik yang boleh menjadi contoh pada anak muda Melayu kita. Kalaulah sikap ganas dan kurang sopan yang ditunjukkan, maka itulah akan menjadi ikutan anak muda, dan rusuhan yang berlaku di Shah Alam dihadapan Tun Mahathir jelas sebagai bukti.

Saya amat bersyukur pada kedua arwah ayah dan ibu saya yang teleh mendidik kami adik beradik dengan sopan dan sentiasa menghormati orang tua dan orang orang lain, tidak kira bangsa, kaum dan agama. Didikan inilah yang saya amalkan sepanjang hidup saya, dan tidak mungkin saya akan mengubah corak hidup saya hingga penghujung hayat saya.

Apa yang telah saya lihat berlaku dikalangan anak muda Melayu sekarang telah habis dirosakkan oleh pemimpin politik Melayu yang gila kuasa, perasuah dan bersikap kurang ajar. Terus terang saya katakan bahawa sikap dan kelakuan anak muda bangsa lain jauh lebih baik dan sopan dari anak muda Melayu sekarang, dan inilah sebabnya bangsa Melayu akan terus mudur berbanding dengan bangsa bangsa lain dinegara ini.

Selagi pucuk kepimpinan politik Melayu dibawah pimpinan UMNO tidak berubah, selagi itulah bangsa Melayu, dan terutamanya anak Melayu tidak akan berubah.

Patriot

 

Leave a Reply