KEMANA HILANGNYA ACARA HARI PAHLAWAN?

Hari Pahlawan yang disambut pada 31hb Julai setiap tahun adalah satu acara bagi memperingati jasa dan pengorbanan anggota pasukan keselamatan, iaitu tentera dan polis dalam perjuangan mereka mempertahan kedaulatan dan keselamatan negara sebelum dan sesudah kemerdekaan negara. Acara yang lazim diadakan bagi menyambut Hari Pahlawan bermula di Tugu Peringatan, bertempat di Taman Tasik Perdana, Kuala Lumpur pada pagi hari dengan kehadiran pembesar pembesar negara, Panglima Angkatan Tentera, Ketua Polis diRaja Malaysia, perwakilan tentera dari kedutaan luar negara, pegawai-pegawai kanan dari Angkatan Tentera Malaysia dan Polis DiRaja Malaysia dan bekas anggota pasukan keselamatan.

Majlis di Tugu Peringatan itu amat menghayat hati bagi semua bekas anggota pasukan keselamatan bilamana deklarasi sajak ‘Pahlawan Ku’ dilafazkan dengan berlatarbelakang tiupan ‘Retreat’, kerana inilah ketikanya mereka akan mengingati rakan-rakan seperjuangan mereka yang telah jugur dalam pertempuran pada zaman Perang Dunia Kedua (1941-45), ‘The Malayan Emergency’(1947-60), Konfrontasi Malaysia/Indonesia (1963-66), dan ‘The Communist Insurgency’(1968-89)  Acara lain adalah bagi menyambut Hari Pahlawan adalah dengan mengadakan Majlis Doa Selamat diperingkat kebangsaan dan pasukan. Acara Kutipan Derma Hari Pahlawan juga diadakan dan segala hasil kutipan digunakan bagi kebajikan anggota pasukan keselamatan.

Berikutan keluarnya fatwa melarang Majlis Perletakan Kalung Bunga dan Majlis Bertafakur di hadapan Tugu Peringatan di Taman Tasik Perdana pada Hari Pahlawan, maka hapuslah satu tradisi pasukan keselamatan bagi memperingati rakan-rakan seperjuangan mereka yang telah gugur dalam pertempuran mempertahankan kedaulatan dan keselamatan negara. Hilanglah juga ingatan rakyat terhadap jasa dan pengorbanan bekas anggota pasukan keselamatan bagi menentukan negara dan rakyat dapat hidup aman dan selamat.

Pada tanggal 31 Julai tahun ini, Kementerian Pertahanan bersama Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) telah menganjur Hari Perhimpunan Raksaksa Veteran bertempat di MIECC, Seri Kembangan, Selangor yang dihadiri oleh veteran ATM saja. Berikutan perhimpunan ini, beberapa persoalan telah dibangkitkan oleh bebagai pihak seperti berikut:

  1. Adakah Perhimpunan Raksaksa Veteran ATM ini sebagai ganti kepada Hari Pahlawan yang diadakan pada tarikh yang sama, iaitu 31 Julai setiap tahun?
  2. Jika acara perhimpunan itu sebagai ganti kepada Hari Pahlawan, mengapa veteran Polis DiRaja Malaysia (PDRM) tidak dijemput hadir bersama?
  3. Jika pada acara Hari Pahlawan yang terdahulu, ucapan-ucapan dari pemimpin politik negara tidak diadakan. Mengapa pula diperhimpunan kali ini, pemimpin politik dibenarkan membuat ucapan, walhal sekiranya ucapan perlu diadakan juga, ianya harus disampaikan oleh SPB Yang DiPertuan Agong selaku Panglima Tertinggi (Supreme Commander) ATM.
  4. Dimajlis dan acara manakah bekas anggota PDRM yang turut berjuang untuk keamanan dan keselamatan negara diperingati pengorbanan dan jasa mereka?
  5. Adakah menjadi hasrat kerajaan bagi melenyapkan jasa dan pengorbanan anggota-anggota pasukan keselamatan dari ingatan rakyat dan bekas anggota pasukan keselamatan, dengan tidak lagi mengadakan Hari Pahlawan?

Kepada mereka yang telah hadir pada Perhimpunan Raksaksa Veteran ATM tahun ini, ramai telah mengatakan bahawa perhimpunan tersebut mirip kepada satu perhimpunan politik, dan bukannya satu perhimpunan bagi memperingati jasa dan pengorbanan veteran. Kami juga dimaklumkan bahawa ramai veteran yang hadir merasa kecewa dengan penganjuran majlis, yang menyebabkan ramai meninggalkan dewan sebelum majlis tamat.

Persoalannya…….adakah perhimpunan seperti ini akan diteruskan setiap tahun dalam keadah yang sama sebagai pengganti kepada Hari Pahlawan? Adakah bekas anggota PDRM akan terus tersisir dan tidak lagi dikenang dalam lipatan sejarah sebagai pejuang yang telah menyumbang keringat dan nyawa dalam pertahanan dan keselamatan negara?

Fikir fikirkan lah.

Patriot

Leave a Reply