ISA SAMAD DAN SPRM

Bekas Pengerusi Felda, Isa Samad sudah pun ditahan petang kemarin (15 Ogos) oleh SPRM untuk disiasat mengenai pembabitan beliau dalam pembelian dua buah hotel mewah; satu di London dan satu lagi di Sarawak pada tahun 2104/15. Kedua hotel tersebut dikatakan  telah dibeli dengan harga yang lebih tinggi dari harga pasaran, mengakibatkan kerugian pada Felda dengan jutaan ringgit. Pembelian itu telah dibuat oleh sebuah anak syarikat Felda, iaitu Felda Investment Corporation (FIC).

Saya melihat kes Isa Samad ini sebagai satu hal yang boleh diduga kerana beliau mempunyai sejarah yang kurang baik ketika beliau dalam politik. Tidakkah beliau ini didapati terlibat dengan politik wang semasa pemilihan jawatan pada satu Mesyuarat Agung UMNO beberapa tahun lalu? Akibat dari itu keahlian beliau dalam parti digantung bagi satu tempoh, dan oleh demikian beliau terpaksa meletak jawatan sebagai Menteri Wilayah Persekutuan.

Tapi bagi UMNO, kesalahan sebegini besar tidak diambilkira dalam memberikan jawatan penting dalam GLC yang melibatkan jutaan ringgit seperti Felda dan lain lain GLC. Kita juga telah lihat apa yang berlaku pada MARA umpamanya, yang juga menguruskan wang dan aset bernilai jutaan ringgit, dan tidakkah kita dimaklumkan berlakunya rasuah dan salahgunakuasa dikalangan pihak pengurusan MARA. Selagi kita tidak mahu mengubah dasar bagi melarang ahli politik diberikan jawatan penting dalam GLC, selagi itulah kita akan berdepan dengan rasuah dan salahgunakuasa dalam GLC. Bagi saya urusan politik dan urusan perniagaan tidak boleh disatukan. Oleh itu orang politik tidak boleh terlibat dalam urusan perniagaan syarikat milik kerajaan.

Berikutan penahanan Isa Samad oleh SPRM, mungkinkah beliau disabitkan dengan pertuduhan rasuah dan salahgunakuasa dan dibicarakan? Ini satu persoalan yang rakyat akan lihat dan tunggu. Biarlah  mahkamah menentukan nasib Isa Samad; samada beliau bersalah dan diberi hukuman setimpal atau tidak bersalah.

Sekarang kita sudah mula dengar berbagai komen disuarakan oleh pemimpin politik UMNO mengenai penahanan Isa Samad. Saya tertarik dengan komen saorang ahli politik UMNO, iaitu dari Ketua UMNO Bandar Tun Razak Rizalman Mokhtar  bilamana beliau berkata, “bahawa tindakan keatas Isa Samad itu menunjukkan kerajaan serius melawan rasuah”. Kalau benarlah beliau begitu ikhlas, jujur dan serius dengan kata katanya itu, mengapa tidak beliau membuat komen yang sama terhadap apa yang berlaku terhadap skandal 1MDB? Bilamana satu dunia sudah mendapati adanya unsur salahlaku dalam pengurusan wang 1MDB milik rakyat, umat UMNO sebaliknya hanya mampu berpeluk tubuh dan berdiam diri.

Saya menaruh penuh harapan bahawa SPRM dapat menjalankan siasatan mereka keatas Isa Samad tanpa dipengaruhi oleh sesiapa pun untuk mencari kebenaran dan keadilan.

Patriot

Leave a Reply