PEMBAZIRAN WANG RAKYAT YANG TIDAK ADA KESUDAHANNYA

Venue Perhimpunan Raksaksa Veteran (PRV) yang pada awalnya akan berlangsung di Stadium Negara,  telah  berpindah pula ke Mines International Exhibition Convention Centre (MIECC) Sg. Besi pada tarikh yang sama, iaitu 31 Julai 2017. Acara bermula pada jam 2.30 petang (waktu ketibaan PM) dan jangka selesai jam 5 petang.

Pada mulanya, Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (PVATM) telah diberi  tugas sebagai penganjur bagi perhimpunan tersebut. Sekarang, penganjuran nya telah berpindah kepada Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV); mungkin setelah menyedari bahawa PVATM tidak lagi persatuan induk kepada semua persatuan veteran  yang berdaftar dibawah Registrar of Societies satu ketika dulu, setelah Akta Veteran dikuatkuasakan.

Bilamana Akta Veteran dikuatkuasakan, maka  JHEV telah mengambil peranan sebagai ajensi yang bertanggungjawab sepenuhnya terhadap semua persatuan veteran dan dengan itu, kedudukan PVATM sekarang adalah setaraf dengan persatuan-persatuan veteran ATM yang lain, yang bilangannya melebihi 100 persatuan kesemuanya. ROS tidak lagi melayani pendaftaran baru mana-mana persatuan yang menggunakan perkataan veteran, tetapi  dikehandaki berdaftar dengan JHEV.

Pada mulanya PRV ini dijangka dapat menerima kehadiran seramai 10 ribu ke 15 ribu perserta dari seluruh negara  termasuk Sabah dan Sarawak, dan setiap perserta akan menerima wang saku sebanyak RM120.00. Tidakkah ini satu pembaziran bilamana negara dikatakan sedang berhadapan dengan kemelut kewangan? Tidakkah lebih baik wang tersebut disalurkan untuk tujuan yang lebih manfaat seperti pendidikan dan kesihatan yang sekarang tenat kerana kesuntukan peruntukan?

Dengan perubahan venue dari Stadium Negara ke MIECC, maka bilangan perserta terpaksa dikurangkan. Kami tidak tahulah samada MIECC boleh menampung 10 hingga 15 ribu perserta. Yang menjadi persoalan sekarang ialah, mengapa  pindahkan venue bilamana salah satu objektif asal perhimpunan adalah untuk menunjukkan sokongan taat setia khusus kepada Perdana Menteri (bilamana PRU14 hampir tiba), dan sudah tentunya berkehendakkan perserta yang ramai. Untuk objektif ini, bukankah Stadium Negara lebih sesuai…….tidak kah begitu?

Tidakkah cukup  semasa dalam perkhidmatan  dahulu dimana kita telah menunjuk sokongan pada kerajaan, walhal  Ikrar Taat Setia yang lafazkan ketika menjadi tentera dahulu ialah Taat Setia pada Raja dan Negara….tidak pula menyebut Taat Setia pada Perdana Menteri? Dalam menunjukkan sokongan ini, ramai telah terkorban dan selainnya cacat tubuh badan, hanya kerana mahukan sebuah negara yang selamat, aman dan bebas dari sebarang ancaman luar dan dalam.  Sekarang sudah bersara pun masih dikehendaki menunjukkan sokongan pada Perdana Menteri? Sepatutnya, kerajaan yang wajib memberikan sokongan pada veteran, dan mesti berusaha sebaik mungkin membela nasib veteran hingga hayat mereka.

Bukankah ini juga tugas dan tanggungjawab JHEV bagi membantu sebaik mungkin masalah veteran, dan mengapa pulak veteran terpaksa membuat berbagai rayuan kepada JHEV? Kami telah mendengar bermacam rungutan dari veteran bila mereka berhadapan dengan JHEV dengan masalah mereka. Tugas JHEV bukannya hanya menunggu masalah dilaporkan, tapi mengenalpasti apakah yang akan menjadi masalah pada saorang bakal persara tentera bilamana mereka menjadi veteran kelak. Tindakan JHEV mestilah ‘proactive’ dan bukan ‘reactive’ terhadap masalah veteran.

Mengenai pengumuman khas yang jangka dibuat oleh Perdana Menteri pada perhimpunan tersebut kelak, iaitu mengenai veteran tidak berpencen, bukankah masalah ini berpunca dari dasar perkhidmatan ATM yang kalut yang masih digunapakai sekian lama? Keadaan  negara dan rakyat telah lama berubah, tapi dasar perkhidmatan ATM kekal seperti biasa. Adakah mereka yang tidak berkhidmat bagi satu tempoh secukupnya untuk melayakkan mereka menerima pencen, dianggap mereka itu tidak berguna, dan oleh itu mereka tak perlu dilayani? Perbetulkan dasar yang menyentuh mengenai hal ehwal  pencen anggota ATM secara menyeluruh, dan kami yakin masalah veteran tak berpencen dan juga berpencen dapat diselesaikan.

Bukankah pengubal dan ketentuan dasar pencen bagi ATM adalah tanggungjawab mutlak Majlis Angkatan Tentera (MAT) dan bukan mana-mana badan/ajensi kerajaan lain? Dan sekiranya pengumuman yang bakal dibuat oleh Perdana Menteri mengenai pencen ATM dibuat luar dari MAT, maka kami rasa pengumuman itu telah melanggar bidangkuasa MAT sepertimana yang diperuntukkan dalam Perlembangaan Persekutuan.

Kepada mereka yang cerdik pandai, kami menjemput mereka semak dan teliti betul-betul kandungan MAT dan Perlembagaan Persekutaun berhubung perkara ini.

Leave a Reply