TAHU, TAPI BUAT TAK TAHU

Apa yang sedang berlaku di kalangan pemimpin-pemimpin UMNO dewasa itu amat merungsingkan rakyat. Nak katakan mereka bodoh, tak bodoh kerana semuanya berpendidikan tinggi. Nak katakan mereka pekak, tak pekak kerana apa orang cakap mereka dengar, tapi mungkin fahaman mereka terhadap apa yang mereka dengar itu berbeza dari orang lain yang juga mendengarnya. Nak katakan mereka buta, tak buta kerana jika mereka buta, sudah tentunya ramai dikalangan mereka sudah masuk gaung ketika memandu kereta mereka. Jadi, apa yang menyebabkan kelakuan mereka dilihat pelik dan tak masuk akal dewasa ini.

Cuba kita lihat peristiwa yang sedang melanda negara ini, yang telah menarik perhatian dunia. Contohnya tidak lain  adalah skandal 1MDB yang melibatkan berbilion wang rakyat dimana dengan terang dan nyata, pemimpin tertinggi negara turut terbabit.

Bilamana skandal ini mula diketahuai umum sekitar tahun tahun 2014/5, iaitu setelah didedahkan oleh sebuah media antarabangsa, ramai tidak sedar pada ketika itu betapa besar dan komplek skandal tersebut, yang  memberi impak buruk terhadap kesejahteraan sosial dan kemakmuran ekonomi negara.

Setelah pendedahan demi pendedahan dibuat oleh beberapa media antarabangsa, disusuli pula dengan desakkan parti pembangkang dan rakyat supaya satu siasatan dibuat keatas syarikat 1MDB, maka kerajaan telah memulakan siasatan dengan menubuhkan satu badan siasatan dibawah parliamen yang dikenali sebagai Public Account Committee (PAC).

Beberapa ajensi  siasatan negara turut  melakukan siasatan mereka, iaitu Ketua  Audit Negara, Jabatan Peguam Negara, Polis dan SPRM. Rakyat dengan penuh kesabaran menunggu hasil semua siasatan tersebut  tapi  malangnya, apa yang berlaku pada semua laporan penyisatan tersebut telah diletak dibawah Akta Rahsia Resmi (OSA). Turut dimangsakan adalah beberapa penjawat awam tertinggi; samada diberhentikan atau dipindahkan ke jabatan lain, yang umum sudah pun mengetahuinya. Oleh kerana semua laporan siasatan diletak dibawah OSA, maka ahli parliamen juga tidak dibenarkan membahas  laporan tersebut di parliamen. Bukankah ini satu tindakan yang tidak masuk akal?

Yang lebih aneh adalah bilamana Peguam Negara baru dilantik, dan setelah beliau teliti segala laporan siasatan yang beliau katakan setinggi beliau, maka beliau pun mengumumkan bahawa Perdana Menteri tidak bersalah (suci seperti anak yang baru lahir) dalam skandal 1MDB, dan menutup semua siasatan. Tidakkah keputusan Peguam Negara baru ini menghairankan? Bagaimana mungkin beliau boleh membuat keputusan sepantas itu dalam keadaan kesemua hasil siasatan telah diletakkan dibawah OSA? Adakah keputusan itu dibuatnya secara persendirian (unilateral decision) tanpa mendapatkan pandangan dari pegawai-pegawai dan pakar perundangan dari jabatannya? Benarkah beliau telah meneliti habis-habisan segala laporan yang setinggi beliau itu?

Diketika rakyat negara ini digelapkan dengan hasil siasatan 1MDB, Amerika Syarikat (AS) dan beberapa negara lain telah membuat siasatan terperinci yang menumpukan kepada caramana ‘penyamun-penyamun’ 1MDB telah menyalahgunakan sistem pembankan negara mereka untuk ‘membersihkan’ wang yang dicuri dari 1MDB, dan disalurkan menerusi sistem pembankan AS dan ke-negara lain. Hasil siasatan Department of Justice (DoJ) AS dan negara lain sudah pun tersebar luas dan diketahui umum.

Tapi sekali lagi, pemimpin negara ini tidak mahu mempercayai semua hasil siasatan DoJ AS dan negara lain, dan menuduh pula AS dan negara lain cuba memburukkan pemimpin-pemimpin negara dengan tujuan menjatuhkan kerajaan sediada.  Ada pula dikalangan membodek tegar pemimpin agung kita yang menuduh beberapa pemimpin parti pembangkang  cuba menghasut negara luar untuk campur tangan demi menjatuhkan kerajaan. Bukankah ini semua cakap-cakap dan komen yang tidak masuk akal? Adakah cakap-cakap dan komen seperti itu juga hasil ‘dedak’ yang telah disumbatkan kedalam telinga, mulut dan mata (mengikut kata Tun Mahathir) oleh pemimpin agung negara ini?

Jikalau saya yang kurang terpelajar dapat menilai hasil siasatan dalaman yang telah didedahkan, dan juga membaca hasil siasatan DoJ AS dan negara-negara lain itu berasas dan benar, bagaimana pula orang yang terpelajar dari umat UMNO tidak faham dan membuat komen-komen yang tidak masuk akal.

Ahkir kata, saya hanya boleh membuat tanggapan bahawa umat UMNO yang dikatakan terpelajar itu bukan tak tahu, tapi buat tak tahu. Kepentingan diri mereka mengatasi segala-galanya. Negara boleh hancur dan rakyat boleh menderita, asalkan ‘dedak’ sentiasa berada dalam telinga, mulut dan mata mereka.

 

 

 

 

 

Leave a Reply