MANA DIA PENAFIAN KETUA PENGARAH PERISIKAN PERTAHANAN?

Pada 3hb Julai lalu, saya telah menulis satu surat terbuka kepada Ketua Pengarah Perisikan Angkatan Tentera (KPPAT) mengenai sekeping cek peribadi berniali RM7 juta yang diterimanya dari Perdana Menteri pada 8hb April 2013, iaitu sebulan sebelum PRU13, seperti yang dilaporkan oleh Sarawak Report bertarikh 30 June 2017. Surat terbuka itu telah saya muatkan pada Facebook dan blog saya, dan  diviralkan oleh ramai pembaca. Hingga kini, tidak kurang dari 1000 pemilik Facebook, Whatsapp dan blog telah membaca surat tersebut. Saya juga percaya surat tersebut telah sampai kepengetahuan KPPAT serta pegawai-pegawai ATM yang berkhidmat.

Saya ingin mengatakan bahawa tujuan saya menulis surat terbuka tersebut bukan  untuk memburuk-burukkan KPPAT dan Angkatan Tentera, yang mana saya pada satu ketika dahulu pernah berkhidmat dalam  Angkatan Tentera. Ianya adalah bagi menyedarkan (jika benar cek itu diterimanya) pegawai tertinggi ATM akan kesetiaannya hanya pada Raja dan Negara dan tugas utamanya adalah bagi mempertahankan kedaulatan negara. Kesanggupan KPPAT menerima cek peribadi tersebut akan mendedahkan beliau kepada berbagai tanggapan buruk serta cacian.

Saya tahu ada dikalangan veteran tidak setuju dengan perbuatan saya ini kerana mereka mengatakan saya menjatuhkan nama saorang pegawai tertinggi ATM dan imej baik ATM. Perlu juga saya ingatkan pada mereka itu betapa pentingnya Angkatan Tentera  berkecuali lagi bebas dari  sebarang ‘permainan’ politik tajaan mana-mana parti politik, dan tidak sekali-kali terbabit dalam urusan politik mana–mana parti politik. Ini tegas, nyata dan menjadi pegangan ATM serta setiap lapisan anggotanya. Dan dengan tersiarnya laporan Sarawak Report yang tidak dinafikan oleh KPPAT dan ATM, maka bukankah imej KPPAT dan ATM sudah pun tercemar?

Saya melihat pemberian sekeping cek peribadi bernilai RM7 juta kepada KPPAT oleh saorang pemimpin tertinggi dari parti politik yang memerintah itu amat luar biasa, dan memberikankan nya sebulan sebelum PRU13 akan menimbulkan berbagai tanggapan dan andaian bahawa wang tersebut digunakan untuk tujuan berpolitik. Jika andaian saya itu salah, maka terserahlah kepada KPPAT untuk membuat satu penafian terbuka bagi meredakan berbagai tanggapan dan andaian yang sedang diperkatakan seluruh negara.

Baru saja malam tadi, saorang awam ahli kariah surau kami telah bertanya pada saya, “adakah benar KPPAT menerima cek peribadi  seperti yang dilaporkan oleh Sarawak Report bertarikh 30 June lalu”. Saya hanya boleh jawab bahawa, “sekiranya laporan itu benar, itu satu perbuatan  yang salah lagi memalukan dan terpulanglah pada sepenerima bagi menjawabnya”.

Jawatan KPPAT itu adalah satu jawatan yang tinggi dalam ATM, dan saya percaya beliau mempunyai hubungan dan kenalan sejawatan dengan beliau diseluruh dunia. Tidakkah beliau merasa malu jika berita ini diketahui oleh kenalan yang sejawatan dengan beliau? Apakah jawapan beliau jika ditanya kelak? Sudah tentunya beliau akan mengahapai sitiuasi yang amat sukar untuk memberikan jawapan yang benar dan iklas.

Biarlah ini menjadi satu pengajaran pada KPPAT dan setiap lapisan pegawai tertinggi dalam ATM, dan janganlah hendaknya perkara serupa ini berulang pada PRU14 nanti. Percaya dan yakinlah bahawa segala tindak tanduk kamu akan dipantau supaya kamu tidak diperkudakan untuk bersubahat bagi memenangi mana-mana parti politik pada PRU14 nanti.

 

 

 

Leave a Reply