SURAT TERBUKA KEPADA KETUA PENGARAH PERISIKAN TENTERA, ANGKATAN TENTERA MALAYSIA

 

Asalamualaikum

Beberapa hari yang lalu, kami telah dikejutkan dengan satu pendedahan dimedia sosial bahawa kamu pada 8 April 2013 telah menerima sekeping cek peribadi  Perdana Menteri  bernilai RM 7 juta. Jika dilihat dari tarikh cek tersebut, ianya dikeluarkan  satu bulan sebelum tarikh PRU13 yang telah berlangsung  pada  5 Mei 2013. Lantas, timbul berbagai andaian, dan satu nya  adalah bahawa wang tersebut berkemungkinan  digunakan bagi menentukan kemenangan PRU 13 berpihak pada kerajaan UMNO/BN.

Jika benar kamu TIDAK menerima cek peribadi  dari Perdana Menteri seperti  yang telah ditularkan dalam beberapa media sosial, mahukah kamu buat satu kenyataan terbuka menafikan tidak menerima cek tersebut? Jika kamu berdiam diri dan enggan membuat  kenyataan  terbuka, maka tidak salah bagi kami, terutama dikalangan veteran tentera dan rakyat jelata menerima pendedahan itu sebagai benar; jesteru, dengan itu  boleh sesiapa saja  membuat berbagai andaian yang dikuatir boleh menjejas kedudukan dan nama baik kamu sebagai Ketua Pengarah Perisikan Tentera.

Kami maklum bahawa Bahagian Perisikan Tentera ada menerima satu peruntukan khas  dari kerajaan bagi melaksanakan tugas resmi yang bersangkutan dengan perisikan dan keselamatan negara. Oleh kerana itu satu peruntukan kerajaan (wang rakyat), sudah tentunya segala perbelanjaan akan mengikuti peraturan dan garis panduan yang ditetapkan oleh kerajaan atau jabatan perisikan. Tidak mungkin wang peruntukan tersebut boleh dibelanjakan untuk tujuan lain; umpamanya  membeli  barang-barang kemas untuk isteri-isteri pegawai tinggi atau perbelanjaan untuk berfoya-foya bagi pihak-pihak tertentu.

Jika benar kamu telah menerima cek peribadi dari Perdana Menteri bernilai RM7 juta sebulan sebelum PRU 13, tidakkah kamu sebagai saorang pegawai risik tentera yang terlatih, berpengelaman, bermoral, bertangguung jawab pada Raja dan Negara serta berektika tinggi,  terlintas dihati kamu bagi  menyoal  apakah tujuan sebenar cek peribadi itu diberikan? Tidakkah kamu terfikir bahawa pemberian cek peribadi  sebegitu besar  adalah luar biasa, dan mungkin belum pernah berlaku sejak penubuhan Kor Risik DiRaja pada 7 November 1969?

Oleh kerana cek tersebut dari akuan peribadi Perdana Menteri, maka tidak kah terfikir bahawa wang jumlah sebesar itu  akan terdedah kepada salahguna oleh kamu dan pegawai-pegawai kamu? Tidakkah kamu mahu menyoal darimana pula datangnya wang sebesar itu yang berada dalam akuan peribadi Perdana Menteri? Dan jika benar wang tersebut digunakan untuk memenangi UMNO/BN pada PRU13 lalu,  maka tidakkah kamu rasa bersalah kerana terlibat secara langsung dengan politik, dan berpihak dengan sebuah parti politik? Dengan wang yang sebegitu besar, sudah tentu salah satu cara memenangi hati pengundi berpihak pada parti politik tertentu  adalah dengan sogokkan wang. Dan bukankah ini satu perbuatan yang salah lagi hina? Sekiranya sogokkan wang dilakukan bagi pihak parti politik berkenaan, maka sudah tentunya kamu telah melakukan satu perbuatan jenayah dan haram. Adakah kamu sekarang sanggup hidup dengan stigma bahawa kamu telah bersongkol dengan perasuah?

Jika benar andaian kami bahawa salah satu kegunaan wang tersebut adalah untuk sogokkan, maka kami desak kamu untuk memohon maaf dan insaf diatas perbuatan kamu itu. Janganlah hendaknya perbuatan kamu itu meletakkan Angkatan Tentera ketahap yang hina dan terdedah pada cacian rakyat.

Ingat kah kamu akan  ikrar taat setia yang kamu lafazkan ketika kamu ditauliahkan, iaitu Taat Setia yang tidak berbelah bagi pada Raja dan Negara, dan sanggup mempertarungkan  nyawa demi  mempertahankan kedaulatan negara? Tidak pula terdapat dalam lafaz taat setia itu bahawa kamu akan mempertarungkan  nyawa kamu untuk mempertahankan mana-mana parti politik semasa PRU. Atau, adalah lafaz Taat Setia perajurit sekarang sudah berubah?

Bagi mengekalkan nama baik Angkatan Tentera sentiasa disanjung oleh rakyat, terutama sekali nama baik Kor Risik DiRaja, kami syorkan bahawa kamu berani berhadapan dengan isu ini yang sudah dalam pengetahuan rakyat, dan berani membuat satu kenyataan penafian, jika benar kamu tidak menerima wang ‘sogokkan’ yang luar biasa itu dari Perdana Menteri pada 8 April 2013, untuk memenangi sebuah parti politik dalam PRU13 lalu.

Berani kerana benar, takut kerana bersalah.

3-7-17

 

 

 

 

 

Leave a Reply