TANGISAN BAGI CUCU CUCU SAYA

Hari Raya Aidil Fitri sudah pun berlalu, tetapi suasana kegembiraan Aidil Fitri itu masih dirasai. Bagi saya yang sudah berumur melewati 70 tahun, dan bagi sekalian yang  seangkatan  dengan saya, suasana kegembiraan itu mempunyai erti yang agak berbeza dari mereka  yang jauh lebih muda dari saya.

Bagi saya, kegembiraan itu lebih kepada melihat anak-anak serta cucu-cucu saya berjaya  dihimpunkan ke rumah saya di pagi hari raya itu, serta dapat melihat mereka mengiratkan  silatulrahim  dikalangan mereka.  Alangkah gembiranya saya melihat mereka bergaul dan bermain sesama sendiri,  dan sebagai orang yang tertua dalam keluarga, saya tidak mengharapkan apa-apa, melainkan mahu melihat tali persaudaraan dikalangan mereka kekal buat selama lamanya, hingga lahir pula generasi baru bagi meneruskan  amalan berkumpul sekeluarga di pagi Hari Raya.  Mungkin saya tidak dapat melihat keluarga cucu-cucu saya mendidik anak-anak mereka mengikut caramana saya mendidik cucu-cucu saya, tapi saya amat berharap  tali persaudaraan dikalangan mereka tidak terputus buat selama lamanya.

Dalam saya bergembira dengan kehadiran ahli keluarga saya di pagi hari yang mulia itu, terfikir juga saya akan nasib cucu-cucu saya pada masa akan datang ini, terutama bilamana mereka sudah dewasa nanti. Bagi  saya, saya bersyukur dengan segala rahmat serta keberkatan yang telah saya perolihi dari Allah swt, hingga saya dapat mendirikan satu keluarga yang berkehidupan serdahana.  Itulah cara kehidupan serta didikan yang saya perolihi dari almahrum ayah dan ibu saya ketika saya kanak-kanak, iaitu diajar hidup dalam suasana kesederhanaan, dan tidak pernah kami adik beradik merasa kemewahan hidup yang melampau.

Saya masih ingat kami lima beradik hanya dibekalkan dengan wang 20 sen saorang sehari untuk belanjar kesekolah. Mungkin itu saja yang mampu diberikan pada kami oleh ayah dan ibu.  Jika saya ingin membeli kasut suade jenama Clark buatan England yang berharga 25 ringgit sepasang ketika itu, bayangkan berapa lama dapat saya kumpulkan wang untuk membeli kasut tersebut. Ahkirnya,  saya berjaya juga dapat menyimpan  wang sekolah untuk membeli kasut idaman saya, tapi dengan tidak berbelanja  di kantin sekolah semasa rehat.

Melihat akan keadaan negara sekarang, dengan jenayah rasuah berluasa dikalangan pemimpin negara dan kakitangan awam, saya mula hilang keyakinan bahawa cucu-cucu saya dapat mengecapi keadaan negara yang aman dan makmur, sepertimana yang pernah saya nikmati ketika zaman muda saya. Kos sara hidup sudah melambung tinggi, dan nilai 1000 ringgit itu dilihat amat kecil jika kita berbelanja. 20 sen tidak mempunyai  nilai lagi. Tapi bagi mereka yang mempunyai wang jutaan ringgit, sudah tentu mereka tidak akan merasai kesusahan dan keperitan hidup mereka-mereka yang tidak berada. Adakah gulungan yang berada ini sedar bahawa gulungan terbesar negara ini adalah terdiri dari mereka yang kurang berada?

Bukankah kita diberitahu bahawa hutang negara sekarang sudah mencecah hampir RM1 trilion? Dan dalam keadaan hutang negara yang begitu besar, ada pula ura-ura  kerajaan mahu meneruskan projek membina keretapi laju merintasi semenanjung dari timur ke barat, selain  membina perlabuhan baru di Kuantan dan Melaka yang bolih digunakan oleh kapal dagangan besar. Sudah pastinya projek-projek tersebut  akan menelan kos berbilion billion. Adakah kerajaan mampu membiayai kos bagi projek tersebut, dan apa perlunya projek tersebut diteruskan bilamana kemampuan kerajaan sangat terbatas.  Ini bererti bahawa kerajaan akan meminjam wang, dan siapa pula akan membayarnya kelak jika ianya bukan anak cucu kita.

Sukar saya memahami lojik mengapa kerajaan mahukan projek berbilion-bilion itu diteruskan, dalam keadaan negara tidak mempunyai  kemampuan kewangan, dan hutang negara terlalu besar. Apakah ini yang dikatakan sebuah kerajaan yang peduli  rakyat? Bagaimana pula kerajaan rancang pembayar hutang negara? Dari mana kah sumber kewangan negara untuk membayar hutang, selain dari menaikkan cukai?  Bukankah cukai itu satu dasar yang zalim?

Selain dari kerajaan bermegah dengan cadangan membina projek bernilai berbilion-bilion, aset negara turut dijual kepada negara asing, satu demi satu, dan sebilangan pemimpin negara dengan megah  mengatakan bahawa ini satu bentuk ‘investment’ yang akan membawa keuntungkan pada negara. Apa yang hendak diuntungkan bilamana kuasa keatas aset itu sudah menjadi milik penuh orang lain. Bila pulak Putrajaya atau KLCC Twin Tower hendak dijual agaknya?

Melihat kegawatan yang sedang melanda negara akibat pemimpin yang rakus, saya amat bimbang masa depan anak cucu saya. Bilamana saya sanggup berlapar berbulan bulan semata-mata bagi mengumpul wang sekolah untuk membeli sepasang kasut idaman saya, adakah cucu-cucu saya terutamanya, sanggup berlapar seperti saya untuk mengumpul wang sekolah  semata-mata untuk mencapai idaman mereka?

Tapi yang sudah pastinya ialah cucu-cucu saya akan dipaksa membayar hutang yang telah dihimpunkan oleh kerajaan akibat kerakusan pemimpin terdahulu. Dan adakah wang simpanan mereka itu terpaksa digunakan untuk membayar hutang kerajaan kelak?

Tidakkah perbuatan kerajaan meninggalkan hutang besar untuk dibayar oleh generasi akan datang satu tindakan yang menzalimi rakyat? Fikir fikirkan lah…….

 

 

 

Leave a Reply