KEPENTINGAN RAKYAT LEBIH DIUTAMAKAN DARI PERHIMPUNAN RAKSAKSA VETERAN

Terdahulu kami telah mengeluarkan dua artikel dalam laman blog ini; artikel   pertama mengenai kegusaran kami tentang hubungan UMNO dan MCA dengan Parti Komunis China, manakala artikel kedua mengenai perhimpunan raksaksa veteran yang akan dianjurkan bersama oleh Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (PVATM) dan Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) dijadualkan pada penghujung bulan Julai.

Pada kedua dua artikel tersebut, kami amat mengharap respon dari PVATM/JHEV, kerana respon itu  amat penting bagi memastikan kedudukan PVATM/JHEV terhadap isu/persoalan yang dibangkitkan dalam kedua dua artikel tersebut.  Kemungkinan PVATM/JHEV terlepas pandang mengenai kedua dua artikel tersebut, atau pun tidak mahu memberi sebarang respon kerana mahu berkecuali dalam isu isu yang dibangkitkan. Itu hak mereka yang kami hormati.

Terbaru ini, kami telah mendapat maklumat bahawa perhimpunan raksaksa sekarang akan dianjurkan oleh Kementeria Pertahanan (Kementah) bersama JHEV, dan bukan lagi anjuran bersama PVATM/JHEV. Tarikh perhimpunan telah ditetapkan pada 31 Julai bertempat di Stadium Negara. Maklumat juga mengatakan bahawa setiap perserta akan menerima wang saku sebanyak RM120, dan bagi mereka yang datang dari luar Kuala Lumpur, pengangkutan akan disediakan.

Sekiranya benar Kementah dan JHEV telah mengambil alih penganjuran perhimpunan raksaksa veteran ini, sudah tentu ada sesuatu yang tidak kena yang telah menyebabkan pertukaran penganjuran tersebut.

Adakah PVATM merasa tertekan bilamana beberapa Persatuan Veteran lain telah menyuarakan tentangan mereka terhadap perhimpunan tersebut, atau pun merasakan tidak berkemampuan menganjurkan perhimpunan yang disebut akan menghimpunkan seramai 10,000 hingga 15,000 veteran itu. Atau adakah PVATM tidak mahu melihat persatuan mereka terpenggaruh atau dituduh menjadi kuda tunggang parti politik tertentu.

Diatas apa jua sebab dan alasan perhimpunan ini diadakan, kami rasa ianya satu perhimpunan yang membazirkan wang rakyat, kecuali sekiranya segala kos ditanggung sepenuhnya oleh parti politik tertentu.

Mengikut perkiraan kasar kami, perhimpunan ini akan menelan belanjar melebihi RM1 juta, dan bukankah ini satu pembaziran jika wang rakyat digunakan, dan bilamana negara sedang menghadapi kegawatan ekonomi yang tidak menentu? Bukankah lebih elok wang tersebut dibelanjakan untuk kepentingan rakyat; umpana untuk membina rumah bagi orang termiskin, atau memperbaiki rumah orang orang termiskin yang usang seperti reban ayam itu. Bukankah ini satu tanggungjawab kerajaan yang memerintah, dan bukan mengadakan perhimpunan raksaksa yang mempunyai ajenda bagi ‘memperkasakan’ pemimpin-pemimpin politik tertentu?

Kami mengesa Kementah/JHEV batalkan saja perhimpunan raksaksa itu dan wang peruntukan untuk menganjurkan perhimpunan tersebut diberikan kepada Angkatan Tentera untuk menyurah bakti pada rakyat termiskin; terutama untuk memperbaiki rumah rumah mereka yang telah usang, atau membina rumah baru untuk mereka. Bukankah ini tanggung jawab sebuah kerajaan yang bertanggungjawab yang perihatin terhadap pemasalahan rakyat?

Leave a Reply