PERHIMPUNAN RAKSAKSA PVATM/JHEV SOKONG PM NAJIB?

Kami telah mendapat maklumat bahawa PVATM dengan kerjasama JHEV akan mengadakan perhimpunan raksaksa, dijadualkan pada 31 Julai 2017 bertempat di Stadium Negara, Kuala Lumpur. Proses menjejaki dan mendaftar veteran disetiap pelusuk negara untuk hadir ke perhimpunan tersebut dilaksanakan oleh pejabat pejabat PVATM/JHEV disemua negeri. PVATM/JHEV menjangkakan seramai 10,000 hingga 15,000 veteran dapat dihimpunkan, dan setiap perserta yang hadir akan diberi wang saku sebanyak RM120. Kos pengangkutan dan minuman semasa perhimpunan ditanggung olih pihak penganjur. Penyiadiaan tempat penginapan bagi kumpulan yang datang luar dari kawasan Kuala Lumpur tidak dinyatakan. Ini bererti, semua perserta akan balik selepas selesai perhimpunan.

Kami juga mendapat maklumat bahawa tujuan utama perhimpunan diadakan adalah bagi menunjuk sokongan pada PM Najib, yang umum mengetahui popularity beliau dikhalangan rakyat tidaklah begitu baik. Umum juga mengetahui bahawa PM Najib kini terpalit dengan berbagai masalah berikutan skandal 1MDB, dan ‘kegilaan’ beliau untuk berbelanja mewah, termasuk keluarganya. Sungguh pun berbagai berita tersiar (luar dan dalam negara) mengenai perbuatan salahlaku PM Najib yang tidak menyenangkan rakyat dan negara, tapi beliau ‘dilindungi’ olih beberapa institusi/jabatan penyiasatan negara dari dakwaan.

PVATM yang bermegah dengan bilangan ahli yang ramai, iaitu dalam jangkaan 300,000, yakin dapat menghimpunkan veteran dalam bilangan yang besar. Keyakinan mereka itu berlandaskan pada berita yang kononnya PM Najib akan membuat beberapa pengumuman yang akan mengembirakan veteran, iaitu mengenai isu pencen dan elaun bagi persara. Jika berita ini benar, maka kami melihat tindakan PM Najib bermotifkan politik semata mata bagi meraih sokongan veteran terhadap kepimpinannya yang semakin lesu dan sudah hilang sokongan dan keyakinan rakyat.

Seperkara lagi yang perlu dibincangkan ialah satu kenyataan yang dibuat olih Timbalan Presiden PVATM beberapa hari yang lepas, seperti yang dilapurkan iaitu, “veteran harus berpegang pada prinsip bahawa veteran sentiasa taat setia pada kerajaan sedia ada”. Kami rasa Timbalan Presiden PVATM jahil tentang kandungan dan maksud ‘Ikrar Taat Setia’ perajurit (bermaksud lain lain pangkat dan pegawai) yang dibaca bilamana perajurit mula memasuki perkhidmatan ketenteraan. Ingin kami jelaskan bahawa tidak terdapat pada text ikrar tersebut  yang memberi pengertian bahawa perajurit  dikehendaki ‘sentiasa taat setia kepada kerajaan sedia ada’ sungguh pun sudah bersara. Apa yang terkandung dalam text ikrar tersebut ialah ‘sentiasa taat setia pada Raja dan negara’, dan  sudah menjadi kelaziman bilamana bersara, ramai yang masih berpegang pada ikrar mereka itu…..ini satu kenyataan. Pada hemat kami, kenyataan Timbalan Presiden PVATM itu  mengelirukan dan ternyata memutarbelitkan faktar.

PVATM mungkin sedar atau buat buat tak sedar bahawa Timbalan Presiden PVATM itu adalah saorang ahli UMNO yang aktif berpolitik. Kami mendapat maklumat bahawa beliau pernah bertanding sebagai calon BN pada PRU13 dikawasan DUN Kuala Langat, dan telah kalah kepada calon PKR. Tindakan beliau ini jelas melanggar Perlembagaan Persatuan veteran yang melarang mana mana ahli aktif berpolitik, lebih lagi pada mana mana ahli yang memegang jawatan tinggi dalam persatuan veteran. Sekiranya benar Timbalan Presiden PVATM itu masih aktif berpolitik, kemungkinan beliau menggunakan kedudukan tinggi dalam persatuan untuk kepentingan politik peribadinya tidak boleh disangkal. Begitu juga, sebagai ahli parti pemerintah, kemungkinan juga beliau telah melakukan sesuatu tindakan/perbuatan bagi memajukan kepentingan parti politiknya.

Dengan ini, Persatuan Patriot Kebangsaan mendesak PVATM/JHEV memberikan jawapan kepada persoalan seperti berikut:

  1. Adakah benar perhimpunan raksaksa yang dijadualkan berlangsung pada 31 Julai 2017 bertujuan menunjukkan sokongan pada PM Najib?
  2. Adakah benar bahawa setiap perserta akan menerima wang saku sebanyak RM120?
  3. Jika benar, perhimpunan tersebut berjaya mengimpunkan 10,000 hingga 15,000 perserta, maka anggaran perbelanjaan yang perlu disediakan adalah sebanyak RM1.8 juta. Dari mana pula datangnya peruntukan RM1.8 juta itu? Jika peruntukan itu dari JHEV, maka itu sudah menjadi kesalahan kerana segala peruntukan pada JHEV adalah untuk kebajikan veteran semata mata, dan bukan untuk membayar perserta yang hadir untuk perhimpunan.
  4. Mengadakan siasatan terhadap Timbalan Presiden PVATM bagi mengenalpasti samada beliau masih aktif berpolitik dan masih memegang jawatan dalam parti politiknya. Sekiranya beliau masih aktif berpolitik dan memegang jawatan dalam partinya, maka Persatuan Patriot Kebangsaan mendesak PVATM arahkan beliau letak jawatan yang disendangnya dalam persatuan.

PVATM/JHEV dikehendaki memberikan jawapan pada semua soalan diatas melalui emel kepada ppkpatriot@gmail.com dengan segera.

 

Leave a Reply